Kemaskini BR1M 2018 Perlu Ditambah Baik

Powered by WP Review

Kemaskini BR1M 2018 Perlu Ditambah Baik – PUTRAJAYA – Majlis Profesor Negara (MPN) mencadangkan mekanisme penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang banyak membantu meringankan masalah kewangan individu dan isi rumah sejak diperkenalkan pada 2012, ditambah baik melalui pembentangan Bajet 2018 bagi memastikan kelestariannya lebih menyeluruh.

Kemaskini BR1M 2018 Perlu Ditambah Baik

Setiausaha Kluster Ekonomi dan Pengurusan MPN Prof Dr Asan Ali Golam Hassan berkata satu rangka kerja untuk mengenal pasti pemberian BR1M lebih produktif seperti dalam bentuk bayaran tunai, bayaran tunai bersyarat, baucer makanan atau campuran beberapa skim perlu dipertimbangkan untuk menjadikan insentif itu lebih holistik berbanding bayaran secara tunai yang diaplikasikan ketika ini.

Kemaskini BR1M 2018 Perlu Ditambah Baik

“Selain meneruskan agenda membantu golongan berpendapatan rendah dan mereka yang terjejas berikutan peningkatan kos sara hidup, pemberian BR1M perlu dipastikan berupaya membawa kepada peningkatan produktiviti dan kapasiti produktif masa depan dalam ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai isu-isu ekonomi yang perlu diberi perhatian dalam Bajet 2018 di sini hari ini.

Penambahbaikan mekanisme penyampaian BR1M adalah antara 20 cadangan dikemukakan MPN kepada kerajaan sebagai anggota jawatankuasa fokus kumpulan Kementerian Kewangan bagi membincangkan mengenai pengisian Bajet 2018 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan di Parlimen pada 27 Oktober ini.

Antara cadangan lain ialah berkaitan percukaian, pendidikan dan pembangunan Indeks Kos Sara Hidup.

Menurut Asan Ali, baucer makanan yang diaplikasi di beberapa negara maju termasuk Amerika Syarikat adalah sebahagian daripada pemindahan wang untuk membolehkan golongan berpendapatan rendah menebus baucer untuk bahan makanan atau menggunakannya di premis terpilih, yang secara tidak langsung merangsang ekonomi tempatan apabila ia digunakan di premis perniagaan tempatan.

Menghuraikan pembayaran tunai bersyarat, beliau berkata ia diperuntukkan kepada individu atau keluarga berpendapatan rendah yang memenuhi keperluan atau sikap tertentu antaranya telah menghadiri program ‘pengguna pintar’ atau pembangunan keusahawanan untuk mengupayakan ekonomi penerima serta mengeluarkan mereka daripada senarai layak menerima bantuan.

“Pemindahan tunai bukan bersyarat masih boleh terus dilaksanakan di kawasan di mana akses kepada program pembayaran tunai atau kedai bagi penggunaan baucer makanan adalah terhad,” katanya.

Timbalan Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan MPN Prof Dr Jamal Othman pada sidang media yang sama, pula berkata pembangunan Indeks Kos Sara Hidup akan dapat memaparkan secara eksplisit paras dan perubahan dalam kos sara hidup masyarakat dari semasa ke semasa.

Beliau berkata indeks tersebut mampu melengkapi Indeks Harga Pengguna (IHP) yang ketika ini dijadikan penunjuk dalam mengukur kos sara hidup masyarakat.

“IHP yang telah lama diterbitkan Jabatan Perangkaan sangat berguna sebagai penunjuk umum kadar inflasi harga barangan dan perkhidmatan. Namun, ia bukan petunjuk yang tepat untuk mencerminkan perubahan kos sara hidup yang dialami masyarakat secara holistik,” katanya.

MPN, katanya, berharap kerajaan melalui Bajet 2018 dapat menyediakan peruntukan khas kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Jabatan Perangkaan bagi pembangunan indeks berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPN Prof Datuk Dr Raduan Che Rose pula mencadangkan kerajaan agar dapat mengkaji semula struktur cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam tiga bidang iaitu pendidikan, kesihatan dan sukan dengan menukarkannya daripada kategori ‘zero rated’ kepada barang berkategori ‘pengecualian’. – Bernama

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih