Fenomena Supermoon Blue Blood-Moon kembali 31 Januari

Powered by WP Review

Fenomena Supermoon Blue Blood-Moon kembali 31 Januari | KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia berpeluang untuk menyaksikan tiga fenomena serentak yang akan berlaku ke atas bulan iaitu ‘Super Blue Blood-Moon’ pada 31 Januari ini, satu fenomena gerhana bulan penuh yang berlaku kali terakhir 152 tahun lepas.

Fenomena yang kali terakhir berlaku pada 31 Mac 1866 itu merupakan gabungan fenomena ‘Supermoon’, ‘Bluemoon’ dan ‘Bloodmoon’, menurut kenyataan dikeluarkan Planetarium Negara kepada Bernama hari ini.

fenomena Supermoon, ‘luemoon , Bloodmoon

Fenomena Supermoon Blue Blood-Moon kembali 31 Januari

Menurut kenyataan itu, fenomena ‘Supermoon’ terjadi berikutan kedudukan bulan berada paling hampir dengan bumi dan mengalami fasa penuh menyebabkan saiz bulan akan kelihatan lebih besar daripada biasa.

Fenomena ‘Bluemoon’ pula ialah fasa bulan penuh yang berlaku pada tarikh sama merupakan fasa bulan penuh yang kedua dalam bulan Januari 2018.

“Pada malam itu, bulan turut mengalami peristiwa gerhana bulan penuh yang menyaksikan fasa gerhana bermula kira-kira 7.48 malam sehingga 11.11 malam manakala fasa gerhana penuh pula akan bermula kira-kira 8.51 malam sehingga ke kemuncak pada pukul 9.29 malam dan akan tamat kira-kira 10.07 malam.

“Umumnya gerhana bulan juga dikenali sebagai ‘Bloodmoon’ kerana warna bahagian gelap gerhana yang kemerah-merahan akibat biasan cahaya Matahari oleh atmosfera bumi,” menurut kenyataan itu.

Sekiranya cuaca mengizinkan, antara lokasi ideal bagi menyaksikan fenomena yang amat jarang berlaku ini adalah kawasan tepi pantai yang menghadap laut di sebelah timurnya, kawasan puncak bukit, tanah tinggi, di atas bangunan tinggi atau mana-mana kedudukan yang tiada halangan pandangan ke arah ufuk dan langit di sebelah timur.

Sehubungan itu, bagi memeriahkan lagi kehadiran fenomena berkenaan, Planetarium Negara di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengajak orang ramai menghadiri Program Pencerapan Gerhana Bulan Penuh ‘Super Blue Blood-Moon’ pada 31 Januari bermula 7 malam sehingga 12 tengah malam di hadapan pintu masuk Planetarium Negara.

Dalam program itu, para pengunjung berpeluang menggunakan beberapa buah teleskop bagi menyaksikan fenomena gerhana yang disediakan oleh Planetarium Negara selain aktiviti taklimat dan penerangan mengenai gerhana, panduan dan aktiviti astro-fotografi serta sesi solat gerhana pada malam itu.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Planetarium Negara di talian 03-22735484, e-mel di info@planet.gov.my atau melayari laman sesawang Planetarium Negara di www.planetariumnegara.gov.my selain Facebook Planetarium Negara.

Sementara itu, Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dalam kenyataannya berkata gerhana bulan penuh pada 31 Januari ini akan berlaku di Timur Eropah, Timur Afrika, Asia (termasuk Malaysia), Australia dan Amerika Utara.

“Fenomena gerhana bulan yang akan berlaku itu mengambil masa selama lima jam 17 minit bermula pada 6.51 petang hingga 12.08 tengah malam (1 Februari). Ini bermakna gerhana sedang berlaku ketika bulan terbit di ufuk Timur (kecuali Sabah dan Sarawak akan bermula selepas bulan terbit),” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, Observatori Negara Langkawi akan mengadakan aktiviti pencerapan bagi orang awam untuk menyaksikan fenomena berkenaan dengan menyediakan beberapa buah teleskop mudah alih kepada pengunjung secara percuma.

Lokasi-lokasi lain yang boleh dikunjungi orang ramai untuk aktiviti pencerapan ialah di Planetarium Negara, Kuala Lumpur, Balai Cerap Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan, Balai Cerap Selangor, Sungai Lang Parit Baru, Sungai Ayer Tawar, Selangor, Balai Cerap Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka.

Lokasi lain ialah Pantai Tok Jembal, Terengganu (anjuran Balai Cerap Kusza), Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu, Sabah (Sabah Stargazers Observatory) dan Balai Cerap Kota Bharu, Kampung Kubang Rawa, Salor, Kelantan. –Bernama