Gempa Bumi di Taiwan, tongkat bangunan senget

Powered by WP Review

Gempa Bumi di Taiwan, tongkat bangunan senget – Hualien (Taiwan): Pasukan penyelamat bertungkus-lumus menggeledah runtuhan bangunan mencari mangsa gempa bumi yang melanda Hualien di Taiwan yang menyebabkan enam terbunuh manakala 88 masih masih hilang.

Mereka menumpukan usaha mencari di bangunan apartmen 12 tingkat dan hotel berdekatan yang condong teruk akibat gempa bumi sekuat 6.4 magnitud. Jumlah mangsa yang masih terperangkap juga masih belum jelas.

Gempa Bumi di Taiwan, tongkat bangunan senget

Gempa Bumi di Taiwan, tongkat bangunan senget

Paling membimbangkan keadaan di bangunan Yun Tsui – blok kediaman yang turut mempunyai restoran, kedai serta asrama – yang senget teruk akibat gempa.

Puluhan penduduk dan haiwan kesayangan berjaya diselamatkan menggunakan tangga, tali dan kren. Namun, anggota bomba memberitahu AFP, sekurang-kurangnya empat mayat ditemui di dalam runtuhan berkenaan, semalam.

Operasi menyelamat di bangunan itu dihentikan sementara waktu pada waktu siang, semalam, kerana bimbang ia semakin menyenget dalam pada jurutera bergegas menyokong bahagian yang condong menggunakan blok konkrit serta palang keluli.

Usaha menyelamat disambung pada waktu malam dengan anggota penyelamat menggunakan tuil serta lampu suluh untuk mencari mangsa terselamat di tingkat bawah.

Penduduk, Lu Chih-son, 35, yang tinggal berhampiran berkata, dia melihat sebahagian bangunan berkenaan runtuh.

“Saya melihat aras satu mendap ke bumi sebelum semakin condong sehingga tingkat keempat menjadi aras pertama. Saya sekeluarga tidak cedera, tetapi seorang jiran mengalami pendarahan akibat kecederaan di kepala.

“Kini kami tidak berani pulang kerana banyak gegaran susulan berlaku dan kami bimbang kerosakan terhadap rumah kami,” katanya.

Seorang laig, Chen Chih-wei, 80, berkata, dia dikejutkan daripada tidur di kediamannya di tingkat atas bangunan itu selepas merasakan gegaran.

“Katil saya menegak, mulanya saya tidur tetapi tiba-tiba saya dalam keadaan berdiri. Saya merangkak ke balkoni menunggu bantuan. Ia gempa terbesar pernah dirasai sejak tinggal di Hualien, lebih lima dekad lalu,” katanya.

Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh di Hotel Marshal apabila aras bawah runtuh, tetapi kebanyakan penduduk berjaya keluar. Pihak berkuasa percaya tiada mangsa terperangkap.

Presiden Tsai Ing-wen ketika melawat lokasi itu semalam kemudian berkata di Facebook: “Apa yang penting sekarang usaha menyelamat, perkara paling penting adalah untuk menyelamatkan orang.”

Hualien antara kawasan pelancong paling popular Taiwan dan kerajaan berkata, 17 warga asing antara yang dirawat kerana cedera ringan, semalam.

Pihak berkuasa berkata, 214 orang cedera dan 117 orang diselamatkan dari bangunan yang rosak sehingga semalam. Kira-kira 830 orang ditempatkan di pusat perlindungan, manakala 1,900 rumah terputus bekalan elektrik. – myMetro