Wujudkan Jawatankuasa Pastikan Permohonan Skim MyDeposit Tiada Pilih Kasih

Powered by WP Review

Wujudkan Jawatankuasa Pastikan Permohonan Skim MyDeposit Tiada Pilih Kasih – MELAKA: Kerajaan mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi memastikan permohonan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama atau MyDeposit dilaksanakan secara telus dan pemohon yang layak sahaja menikmati insentif pembelian rumah pertama berkenaan. Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata jawatankuasa berkenaan akan menyemak secara teliti syarat kelayakan pemohon yang membuat permohonan dan tiada istilah pilih kasih atau perbezaan fahaman politik.

Permohonan Skim MyDeposit

Wujudkan Jawatankuasa Pastikan Skim MyDeposit Tiada Pilih Kasih

“Jawatankuasa ini akan bekerjasama dengan institusi atau pihak tertentu bagi memastikan pemohon yang berdaftar untuk mendapatkan insentif pembelian rumah pertama adalah mereka yang benar-benar layak dan memenuhi syarat ditetapkan.

“Skim MyDeposit bertujuan membantu golongan pertengahan bagi pembelian rumah pertama menerusi projek perumahan swasta yang tidak mendapat sebarang subsidi dan ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia 21 tahun ke atas,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Ke-15 Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata skim tersebut menawarkan pembiayaan 10% daripada harga rumah atau maksimum RM30,000 kepada pemohon yang mempunyai pendapatan isi rumah RM3,000 hingga RM15,000 untuk membeli rumah berharga RM500,000 ke bawah.

Katanya keutamaan permohonan skim berkenaan adalah pasangan suami isteri yang belum mempunyai rumah pertama dan pembayaran insentif tersebut akan dibayar terus kepada pemaju perumahan terbabit.

Halimah berkata kerajaan meningkatkan jumlah peruntukan insentif bagi Skim MyDeposit kepada RM25 juta pada tahun depan, berbanding RM20 juta tahun ini.

Beliau berkata peningkatan peruntukan itu bertujuan memastikan lebih ramai rakyat yang layak untuk memohon skim tersebut dapat menikmati insentif berkenaan.

Cara Permohonan Skim MyDeposit Secara Online

“Permohonan Skim MyDeposit bagi tahun depan dibuka semalam (15 Disember) hingga 15 Februari 2018 dan pemohon boleh membuat pendaftaran secara dalam talian di https://sprn.kpkt.gov.my,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata 6,298 pemohon membuat pendaftaran di bawah skim tersebut sejak 7 April 2016 hingga Oktober lepas.

Katanya daripada jumlah keseluruhan permohonan diterima dalam tempoh berkenaan, 230 pemohon berdaftar untuk membeli rumah di bawah RM100,000; 978 pemohon berdaftar untuk pembelian rumah berharga RM101,000 hingga RM200,000; RM201,000 hingga RM300,000 (1,791 orang); RM301,000 hingga RM400,000 (1,772 orang); RM401,000 hingga RM500,000 (1,382 orang) dan RM501,000 ke atas (108 orang).

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, hanya 1,469 permohonan diluluskan dengan jumlah bayaran lebih RM39 juta selepas mereka memenuhi syarat seterusnya yang ditetapkan dalam masa 30 hari termasuk berjaya mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan.

Wujudkan Jawatankuasa Pastikan Skim MyDeposit Tiada Pilih Kasih